
BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI
Herba Pelengkap Kepada Perubatan Moden

Oleh Hafizah Iszahanid
PERSEPSI perubatan moden adalah penawar terbaik untuk setiap jenis penyakit adalah tidak tepat apabila laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan 80 peratus penduduk dunia bergantung kepada rawatan tradisional.
Penduduk di Cina, India, Afrika dan Timur Eropah misalnya, kerana kemiskinan mereka tidak berupaya membeli makanan apatah lagi sebutir pil melegakan sakit kepala.
Pada tahun kebelakangan ini, minat masyarakat dunia terhadap perubatan herba semakin bertambah. Malah ia dianggap pelengkap kepada sistem penjagaan kesihatan yang ada kini.
Perubatan tradisional seperti Ayurverda, Yunani lama juga kepercayaan pada ubat-ubatan tradisional puak-puak tertentu di merata dunia selain perubatan Cina menjadi semakin popular dan teras kepada pembangunan pelbagai ubat-ubatan herba hari ini.
Pengarah Makmal Penyelidikan India, Dr GN Qazi, yang ditemui baru-baru ini mengakui kesedaran terhadap kesan sampingan ubat-ubatan moden, harganya yang semakin tinggi dan kegagalan sains moden menemui penawar penyakit kronik seperti barah dan Aids, menyebabkan pesakit beralih kepada rawatan tradisional berasaskan herba.
"Memang bukan semua penyakit boleh dicegah atau disembuhkan dengan ubat herba, kita masih memerlukan ubat moden. Ubat tradisional berasaskan herba bukan untuk mengambil alih ubat moden, ia mengisi kekosongan yang tidak terisi. Misalnya penyakit berkaitan faktor usia, masalah hati, athritis, masalah tulang, sistem keimunan, barah, Aids dan rhemutoid athritis yang gagal disembuhkan ubat moden," katanya.
Kekosongan itu kata Dr Qazi perlu dipenuhi segera kerana pesakit semakin bertambah dan bagi kes barah, selain penyakit barah sedia ada pelbagai lagi jenis barah baru mula dikesan.
"Satu contoh yang jelas, ubat moden belum berupaya menangani masalah tekanan. Tapi kalau dilihat dari sudut perubatan herba, tekanan boleh ditangani dengan memakan bunga kunyit. Secara lebih saintifik, kami sedang mengkaji berapa peratus bunga kunyit yang boleh membantu menangani tekanan. Ini aspek yang tidak mungkin boleh ditangani ubat moden," katanya.
Mengambil contoh kajian makmalnya di Kashmir, kerana kemiskinan kebanyakan warga India tidak berupaya mendapatkan ubat moden dan mereka bergantung kepada ubat herba menentang pelbagai penyakit kronik. Tetapi ubat-ubat herba perlu dikaji dan dibangunkan dengan keupayaan sains moden supaya ia benar-benar berkesan. Gabungan dengan sains moden juga diharap berupaya untuk mengkomersialkannya tetapi harga serendah mungkin yang dapat dibeli pengguna.
"Apabila kita sebut mengenai ubat tradisional dan herba, jangan hadkan pada tanaman semata-mata tetapi juga elemen marin dan bakteria. Malah generasi pertama antibiotik dihasilkan berasaskan sumber ini," katanya.
Unsur paling penting dalam dunia rawatan tradisional adalah rohani. Kekuatan rohani kata Dr Qazi berupaya menjadi ejen penjanaan penyembuhan penyakit yang terbaik. Tetapi kekuatan rohani saja tidak mencukupi.
"Kerana itu kita perlu gabungkan kedua-duanya. Kita mengambil kebijaksanaan pengetahuan tradisional sebagai pelengkap kepada sains moden. Ubat herba tidak menggantikan ubat moden tapi kita menyarankan pemberian ubat-ubat moden dengan herba. Contohnya jika pesakit itu berhadapan dengan tumor, selain memberinya antibiotik saya menyarankan pesakit turut memakan ekstrak lada hitam," katanya.
Satu fakta yang jelas juga, tidak semua ubat moden yang ditelan pesakit akan masuk ke dalam sistem tubuh. Hanya sekitar 15 miligram dari keseluruhan tablet antibiotik atau apa saja molekul ubat yang diambil akan masuk ke dalam sistem tubuh. Kerana itu walaupun dua pesakit didiagnos dengan penyakit yang sama, ubat yang serupa tidak akan memberi kesan sama kepada mereka.
"Ubat moden sangat terhad dan ia tidak holistik. Ia membunuh satu perkara berkaitan penyakit walaupun ia bukan satu-satunya penyebab penyakit. Misalnya, jika kolesterol tinggi, ia akan membantu merendahkan kolesterol tetapi kita harus makan ubat hingga ke akhir usia. Kalau ubat tradisional ia akan memantau semua faktor penyebab tingginya kolesterol," katanya.
India antara negara yang giat melakukan kajian bioteknologi mengenai perubatan tradisional tetapi di Malaysia walaupun kebanyakan kita tahu dan mengamalkan ubat-ubatan tradisional seperti rawatan lepas bersalin sejak zaman berzaman, masih ada ruang untuk mengkomersialkannya menerusi penyelidikan dan pembangunan yang lebih agresif.
FAKTA Herba
- Nilai industri herba dunia, AS$50 bilion
- Pengeluar utama herba dunia ialah China, India, Indonesia dan Malaysia
- Nilai industri herba Malaysia antara RM4 bilion hingga RM5 bilion
- Kira-kira 20,000 spesies tumbuhan herba Malaysia,
- Herba Malaysia yang mempunyai nilai perubatan ialah 1,230 spesies
- Lima puluh ubatan farmaseutikal dari tumbuhan ubatan di Malaysia
- Tongkat Ali dan Kacip Fatimah, tumbuhan ubatan paling popular di Malaysia
Labels: Penjagaan Kesihatan
LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH
<< Home