SURECO Bersama MuhibahDotNet

SIAPA LAGI YANG NAK TOLONG ORANG KITA JIKA BUKAN KITA SENDIRI

Wednesday, August 23, 2006

BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI

Tubuh Perlu 40 Nutrien


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

ADAKAH anda sedar, setiap kali membeli makanan, sama ada yang sudah masak atau bahan masakan, anda sebenarnya melabur untuk kesihatan? Sebagaimana pelaburan lain, pembelian makanan juga perlu dilakukan dengan bijak dan berhati-hati supaya pelaburan itu tidak sia-sia.

Dalam membuat pelaburan ini, seperkara perlu diingat ialah tiada makanan boleh dianggap baik atau tidak baik. Baik buruk sesuatu makanan itu sebenarnya terletak kepada tabiat pemakanan kita kerana semua makanan boleh dimasukkan ke dalam kategori �baik�.

Wanita selalunya lebih mengambil berat terhadap kesihatan suami dan anak tetapi lupa untuk menjaga diri. Tidak kira berapa umur kita, penjagaan kesihatan perlu dimulakan hari ini juga dan cara terbaik untuk memulakannya ialah dengan menjaga pemakanan.

Pengurus Kanan Perkhidmatan Makanan dan Dietetik, Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John, berkata kita memerlukan lebih 40 jenis nutrien untuk kekal sihat. Bagaimanapun, tiada satu pun makanan dapat membekalkan semua keperluan itu. Ini sebabnya kita digalak mempelbagaikan jenis makanan setiap hari.

Pemilihan makanan kita dipengaruhi beberapa faktor iaitu budaya, cita rasa, pengetahuan mengenai khasiat, kepercayaan dan praktikal yang merangkumi soal harga, kemudahan serta tahap kelaparan.

Sememangnya kita akan makan apabila terasa lapar. Namun ramai antara kita kadangkala keliru antara rasa lapar dan selera atau keinginan untuk makan. Lapar adalah tanda badan memerlukan makanan. Anda lapar apabila perut mula berkeroncong, terasa sakit kepala, sukar menumpukan perhatian dan mudah terganggu.

Manakala keinginan untuk makan pula boleh didorong oleh bau makanan yang harum seperti roti atau kek, melihat orang memasak, menonton iklan makanan atau sekadar membaca menu walaupun perut masih kenyang.

Ia boleh mendorong kepada tabiat pemakanan yang buruk walaupun makanan dipilih itu berkhasiat. Tenaga berlebihan ini akan disimpan sebagai lemak dan pelaburan seperti ini boleh menyebabkan berat badan meningkat tanpa disedari.

Masalahnya ialah, orang kita jarang memberi tumpuan terhadap apa yang masuk ke badan. Contohnya penduduk Malaysia mengambil gula dua setengah kali lebih banyak daripada jumlah disarankan. Tidak hairan ramai alami kencing manis. Bagaimanapun ia bukan bermakna gula tidak baik, tetapi perlu berhati-hati dengan gula yang terselindung dalam makanan.

Kunci utamanya ialah bersederhana, makan ikut waktu dan amalkan pemakanan seimbang. Kita juga perlu bijak memilih kerana ada makanan diperlukan untuk membersihkan perut seperti makanan kaya serat, katanya ketika bengkel Kesihatan dan Pemakanan anjuran Nestle (Malaysia) Berhad.

Antara makanan yang berfungsi sebagai �penyapu� membersihkan usus ialah makanan berserat seperti sayur-sayuran, buah-buahan serta pelbagai jenis bijirin supaya bahan toksik dapat dikeluarkan dari badan.

Ia juga membuatkan kita berasa cepat kenyang dan puas kerana mengandungi banyak air yang membantu melancarkan perjalanan bahan yang perlu dibuang dari usus.

Easaw berkata, diet yang baik harus bermula dari rumah iaitu sebelum bergegas ke tempat kerja. Sarapan ringkas seperti bijirin dengan segelas susu memadai untuk mengalas perut.

Sememangnya selera atau keinginan untuk makan sukar disekat. Justeru, ada yang menyimpan snek di rumah atau pejabat. Namun, snek tidak boleh dijadikan pengganti sajian utama. Ia diambil untuk mengatasi rasa lapar di antara waktu makan. Justeru, pilih snek rendah lemak seperti popiah basah, sandwic, biskut kaya serat atau yogurt rendah lemak.

Lebih baik jika dapat menjadikan buah-buahan sebagai snek kerana dengan cara ini kita boleh merealisasikan saranan mengambil lima hidangan buah dan sayur setiap hari. Jika tidak pun, ambil ulam ketika makan tengah hari kerana sayur yang tidak dimasak mengandungi banyak antioksidan.

Walaupun disaran makan buah sebagai snek, pilih buah bersaiz sederhana atau kecil. Amalkan kaedah realistik jika mahu mengubah tabiat pemakanan. Perubahan diet bukan bermakna mengetepikan sesetengah jenis makanan, sebaliknya sajian diambil mesti bersederhana dan seimbang.

Ketahui kandungan lemak dalam makanan yang kita ambil. Pada menu hidangan Barat contohnya, perkataan seperti krim, pan-fried, buttery, sautee atau au gratin bermakna mengandungi lemak. Luangkan masa belajar mengenai istilah yang digunakan dalam masakan, terutama makanan dari luar, katanya.

Selain itu, perhatikan saiz hidangan dalam pinggan setiap kali kita makan. Makanan rendah kalori pun boleh membekalkan tenaga berlebihan jika saiz hidangan besar, melebihi jumlah kalori harian yang diperlukan badan.

Jika makan di luar, minta saiz hidangan kecil. Jika tidak faham istilah digunakan dalam menu, jangan segan bertanya mengenainya atau bagaimana hidangan itu disediakan.

Jika masak sendiri di rumah, belajar menjadi lebih inovatif. Cuba kaedah panggang, kukus atau rebus untuk mengurangkan makanan bergoreng. Gunakan herba dan perasa semula jadi seperti asam jawa, serai, cuka, serbuk kari atau rempah lain untuk menaikkan rasa. Kurangkan penggunaan garam kerana kita hanya memerlukan satu sudu teh garam sehari.

Namun paling penting ialah ketahanan diri. Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran makan selagi boleh atau bernilai untuk wang anda kerana ia boleh menyebabkan kita makan melebihi keperluan., katanya.

©The New Straits Times Press (M) Berhad

Labels:

LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH