SURECO Bersama MuhibahDotNet

SIAPA LAGI YANG NAK TOLONG ORANG KITA JIKA BUKAN KITA SENDIRI

Thursday, July 06, 2006

BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI

JAIS Pegang Pada Fatwa



Oleh Noor Jaafar
noorj@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berpegang kepada keputusan Majlis Fatwa Negeri Selangor yang hanya membenarkan umat Islam menggunakan elemen asal iaitu tanah liat untuk menyamak bagi menyucikan najis berat.

Pegawai Perhubungan Awam Jais, Fakhrul Azam Yahya, berkata sehingga kini Jais tidak memberi kebenaran kepada mana-mana syarikat bahawa produk sabun yang dikeluarkan boleh digunakan untuk menyamak.

"Surat kebenaran yang dikeluarkan kepada sebuah syarikat Bumiputera yang beroperasi di Shah Alam sebelum ini adalah untuk syarikat memasarkan produk sabun untuk kegunaan ramai tetapi bukan untuk menyamak," katanya mengulas mengenai sabun untuk samak yang dipasarkan.

Katanya, berdasarkan kajian Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Bahagian Unit Halal Jais, sabun yang dikeluarkan syarikat berkenaan mengandungi 90 peratus tanah liat dan disahkan suci dan tidak mengandungi elemen haram.

"Ini bermakna sabun itu boleh digunakan umat Islam untuk kegunaan harian seperti untuk mandi dan mencuci tangan, tetapi tidak boleh digunakan untuk menyamak najis berat seperti dijilat anjing atau tersentuh babi," katanya.

Fakhrul Azam berkata, umat Islam jangan terkeliru kerana Jais tidak pernah mengeluarkan surat yang mengatakan produk sabun "Yaqeen" keluaran syarikat itu boleh digunakan untuk samak.

"Jais tidak berkompromi dengan perkara itu sebab itu masih berpegang kepada keputusan Majlis Fatwa Negeri Selangor yang hanya membenarkan elemen asal iaitu tanah liat digunakan untuk menyamak," katanya.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Kedah juga pernah mengeluarkan surat kebenaran kepada sebuah syarikat di negeri itu untuk memasar produk sabun serupa menggunakan jenama "Taharah"

Katanya, sabun itu juga tidak boleh digunakan untuk menyamak tetapi syarikat itu mendakwa sabun untuk samak.

"Jais membuat penjelasan ini kerana bimbang umat Islam terkeliru dan mengatakan Jais membenarkan sabun keluaran syarikat digunakan untuk menyamak."

"Jais juga bimbang surat kebenaran bagi memasarkan produk yang diakui suci dan tidak mempunyai elemen haram itu disalahgunakan syarikat terbabit dengan mendakwa Jais membenarkan sabun itu digunakan untuk menyamak," katanya.

Labels:

LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH