SURECO Bersama MuhibahDotNet

SIAPA LAGI YANG NAK TOLONG ORANG KITA JIKA BUKAN KITA SENDIRI

Friday, November 03, 2006

BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI

Bezakan Skim Piramid Dengan Jualan Langsung

APABILA Balan Rajoo (bukan nama sebenar) dibuang kerja daripada industri kejuruteraan beberapa tahun dahulu, dia tertarik dan terfikir untuk memulakan perniagaan yang diperkenalkan oleh rakannya.

“Saya telah melabur banyak wang dalam perniagan itu. Malah saya juga berjaya memujuk kawan-kawan saya supaya menyertai perniagaan saya, kerana saya sangka kami boleh mendapat ganjaran dengan cepat.

‘‘Saya terpaksa membayar hutang dan jumlah hutang saya yang terkumpul semakin lama semakin banyak. Tetapi, beberapa bulan kemudian, bila saya sedar bahawa produknya bermutu rendah dan tiada pulangan wang, saya rasa tertipu dan malu kerana memujuk kawan-kawasan saya untuk menyertai perniagaan saya.

Harapan saya hancur berkecai,” kata Balan, yang sekarang bekerja dengan sebuah syarikat multinasional, bila mengenang nasib yang menimpanya.

Waktu itu Balan tidak menyedari bahawa dia adalah mangsa skim piramid, juga digelar skim cepat kaya, yang menawarkan peluang perniagaan haram. Ramai orang tertipu dengan skim ini. Jika tidak dibanteras dan dibasmi, skim ini akan terus memperdayakan ramai lagi mangsa.

Tetapi, bagaimana kita dapat mengelakkan daripada menjadi mangsa skim piramid ini?

Apabila skim ini berleluasa di seluruh negara beberapa tahun dahulu, kerajaan telah menyiarkan iklan dalam media untuk memberi amaran kepada orang ramai tentang aktiviti yang mengeliru dan memperdayakan orang ramai. Namun, segelintir orang yang menggiatkan skim ini masih terus aktif dan menarik rekrut atau ahli-ahli yang jahil untuk mempercayai bahawa ia adalah benar-benar perniagaan yang sah. Malangnya, orang ramai masih terus melaburkan wang mereka dengan harapan untuk mencapai impian menjadi kaya dengan cepat.

Skim piramid ini telah merosakkan reputasi industri perniagaan langsung, yang menawarkan pelbagai peluang perniagaan yang sah dan produk yang berkualiti kepada orang ramai.

Kebanyakan peluang perniagaan yang sah ditawarkan syarikat-syarikat multinasional terkenal dan juga syarikat-syarikat tempatan yang setengahnya disenaraikan di bursa saham. Syarikat-syarikat ini menawarkan produk yang berkualiti menerusi rangkaian pengedar bebas yang memberikan perkhidmatan dari rumah ke rumah. Pendapatan bergantung kepada masa yang diluangkan, daya usaha dan ketekunan pengedar individu yang terlatih untuk menjual produk mereka kepada pelanggan.

Di Malaysia, industri jualan langsung dikawal selia oleh Akta Jualan Langsung di bawah pengawasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Industri ini juga menjadikan Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) yang ditubuhkan pada tahun 1978 sebagai suara rasmi mereka dan satu-satunya persatuan yang diiktiraf dan bersekutu dengan Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Sedunia (WFDSA).

Sebaliknya, skim piramid membabitkan ramai orang di barisan bawah segi tiga, yang akhirnya membayar wang kepada sebilangan kecil orang-orang di atas mereka. Prinsipnya mudah dan mereka hanya memerlukan sedikit usaha atau tiada usaha langsung untuk memasarkan rangkaian produk mereka. Rahsianya terletak dalam pengambilan lebih ramai rekrut bawahan, seperti Balan, untuk menjayakan skim ini.

Balan adalah antara mereka yang terselamat untuk menceritakan pengalaman pahitnya dan mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan skim piramid. Jualan langsung adalah pekerjaan yang murni dan telah menyediakan sumber pendapatan alternatif dan memberikan banyak manfaat bukan kewangan kepada ramai rakyat Malaysia. Berikut disenaraikan beberapa panduan ringkas untuk melindungi diri anda atau mengelakkan diri anda daripada terpedaya dengan janji manis skim piramid cepat kaya:-

Berapakah yuran yang anda perlu bayar untuk menjadi pengedar?

Adakah harga produk setanding dengan nilai pasaran dan harga produk syarikat terkenal?

Adakah syarikat menawarkan jaminan wang dipulangkan bagi produknya?

Adakah anda dikenakan tekanan kuat untuk menerima peluang ini? Berhati-hati terhadap tekanan untuk memberikan jawapan segera atau dakwaan kononnya peluang keahlian terhad.

Adakah syarikat melakukan usaha yang perlu untuk memasarkan produknya dan juga memberikan latihan kepada pengedar, atau adakah ia sekadar usaha mencari ahli?

Adakah syarikat mematuhi kod etika yang ketat atau menganggotai sebuah persatuan industri yang terkenal?

Tanya banyak mana kawalan syarikat ke atas pengedaran produknya. Terdapat risiko bahawa pemegang francais boleh kehilangan lesen tetapi jika syarikat mempunyai kawalan ke atas proses pengilangannya sendiri, besar kemungkinan terdapat kesinambungan dan kawalan kualiti.

Siasat tentang perlindungan kepada pengedar dan pengguna. Adakah terdapat dasar beli balik / dasar wang dikembalikan?

Jika mereka menjual terlalu sedikit produk dan produk tidak menambah nilai kepada kehidupan anda atau menggantikan produk yang anda gunakan sekarang, anda mempunyai sebab untuk meraguinya. Sedikit keraguan boleh menyelamatkan anda.

Jangan sama sekali percaya dengan janji anda boleh mendapat wang dengan senang tanpa berusaha kerana tiada perniagaan yang menjamin “pulangan tinggi, tanpa risiko”.

Jangan terpedaya dengan penampilan kerana mereka yang pandai menyamar tahu cara untuk memerangkap anda dan mempermainkan emosi anda supaya anda boleh terpedaya dan melaburkan wang yang anda perolehi dengan titik penuh anda selama ini.

Berhati-hati terhadap orang-orang tidak dikenali yang meminta anda melabur dalam skim yang menawarkan pulangan tinggi dan siasat semua dakwaan mereka sebelum memberi wang kepada sesiapa.

Adakah anda didesak supaya mendaftar untuk sesuatu perniagaan?

Adakah syarikat mengadakan bengkel motivasi dan latihan untuk membantu menjadikan anda pengedar yang berkesan atau adakah ia sekadar usaha mencari rekrut?

Menurut perangkaan rasmi daripada KPDNHEP, seramai empat juta rakyat Malaysia terlibat dalam jualan langsung. Mereka melakukan kerja yang jujur dan mendapat ganjaran yang setimpal dengan usaha mereka. Tiada tempat dalam industri jualan langsung untuk skim piramid.

Jadi, jika ada sesiapa yang menawarkan skim pelaburan cepat kaya kepada anda, gunakan akal fikiran dan kebijaksanaan anda untuk menyiasat. Anda memang boleh memiliki kereta Mercedes Benz tetapi menerusi kerja keras dan usaha anda sendiri.

- Rencana oleh Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) ini merupakan sebahagian daripada usahanya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna untuk melindungi pengguna.

Labels:

LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH