
BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI
70 Produk diragui HALAL : FOMCA

Oleh FUAD HADINATA YAACOB
PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendakwa 70 produk makanan dan minuman di pasar raya, kedai serbaneka atau kedai runcit di seluruh negara diragui kesahihan logo halalnya.
Setiausaha Agung Fomca, Muhammad Sha’ani Abdullah, berkata pemeriksaan pihaknya mendapati 53 daripada produk berkenaan dikesan tiada dalam senarai direktori halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sembilan produk masih dalam proses permohonan dan lapan sudah tamat tempoh logo halalnya.
Katanya, pemantauan bermula April lalu itu dijalankan Pusat Pemantauan Perdagangan dan Perkhidmatan Pengguna Nasional Fomca (5PN) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Pahang dan ERA Consumer.
"Lebih memeranjatkan, semua produk berkenaan adalah hasil keluaran 45 syarikat besar, dengan 22 daripadanya bertaraf multinasional,” katanya pada sidang media mengenai Laporan Pemantauan 5PN: Status Penggunaan Tanda Logo Halal oleh Pengeluar barangan pengguna tempatan dalam misi negara untuk mencapai “Malaysia sebagai pusat pengeluaran halal sedunia", di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman.
Muhammad Sha’ani berkata, pemantauan dilakukan dengan cara khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman web E-Halal yang diwujudkan Jakim.
"Fomca terima banyak aduan daripada pengguna, khususnya masyarakat Islam, yang mahukan maklumat tepat mengenai sesuatu barangan atau produk. Melalui 5PN ini, kita adakan pemantauan di semua kedai dan mendapati logo halal yang tertera pada produk terbabit diragui.
"Ada produk tiada dalam senarai direktori Jakim, dalam proses permohonan dan tamat tempoh logo halalnya," katanya.
Beliau berkata, yang mengecewakan, pengeluar produk atau syarikat besar tidak mengambil berat mengenai status logo halal yang menjadi elemen penting kepada umat Islam.
Katanya, laporan mengenai hasil pemeriksaan Fomca diserahkan kepada Jakim dua minggu lalu, tetapi sehingga hari ini belum ada maklum balas atau reaksi daripada jabatan itu.
"Kita berharap pihak bertanggungjawab memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan sensitiviti umat Islam, selain melanggar peraturan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972," katanya.
Sementara itu, Mohd Yusof berkata, 5PN akan meneruskan pemantauan bagi memastikan pengguna mendapat perlindungan, selain kesedaran peniaga mengenai status logo halal.
"5PN akan terus buat pemantauan sekurang-kurangnya satu laporan pemantauan setiap bulan. Bulan lalu misalnya, melalui pemantauan sama kami dapati 100 produk makanan dan minuman lain diragui kesahihan logo halalnya.
"Sebenarnya, sikap tidak prihatin pengeluar terhadap penggunaan logo halal ini boleh mengelirukan umat Islam dan kesedaran mereka sangat perlu untuk mengelak ia berulang," katanya.
Labels: Info Pengguna Islam
LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH
<< Home