SURECO Bersama MuhibahDotNet

SIAPA LAGI YANG NAK TOLONG ORANG KITA JIKA BUKAN KITA SENDIRI

Monday, November 27, 2006

BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI

Senaman Ringkas Dalam Pesawat Haji

Senaman ringkas dalam pesawat haji
Oleh Ziauddin Sharuddin

IBADAT haji datang lagi. Sejak Rabu lalu, jemaah haji negara mula berangkat ke tanah suci untuk menunaikan ibadat yang amat dinanti-nantikan dan bagi kebanyakan umat Islam dilakukan sekali seumur hidup.

Kebanyakan bakal jemaah membuat persediaan rapi, terutama melengkapkan pengetahuan mengenai cara mengerjakan haji dengan harapan mendapat haji mabrur.

Bagaimanapun, ada aspek yang tidak kurang penting bagi jemaah haji, iaitu kesihatan dan kecergasan kerana menunaikan haji adalah ibadat perbuatan.

Pakar perubatan (Kesihatan Awam) Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Noor Azah Daud, berkata rukun haji seperti tawaf, saie dan melontar, memerlukan jemaah haji mempunyai keupayaan fizikal optimum.

Katanya, perjalanan dari tanah air ke tanah suci yang jauh juga memerlukan keadaan fizikal yang sihat dan cergas.

"Selain itu, jemaah haji berada dalam kenderaan pada jangka masa panjang, iaitu dalam kapal terbang dan bas."

"Ini bermakna risiko mendapat Penyumbatan Saluran Darah Vena (DVT) meningkat. Saya menyarankan jemaah haji supaya melakukan senaman ringan bagi mengurangkan risiko mendapat DVT," katanya.

Dr Noor Azah berkata, DVT berlaku kerana pelbagai faktor dan antara punca biasa ialah pembentukan thrombus (pepejal yang terdiri daripada komponen darah) dalam saluran darah dan pembentukan thrombus dalam saluran vena paru-paru amat merbahaya kerana boleh menyebabkan kematian.

Katanya, antara risiko yang menyumbang kepada pembentukan thrombus dalam saluran vena ialah peningkatan umur, kegemukan, saluran darah vena yang membengkak, perjalanan udara yang lama, kurang pergerakan selepas pembedahan besar dan kanser.

INFO
Senaman Dalam Kenderaan Atau Kapal Terbang

Senaman ini perlu dilakukan antara 3 hingga 4 minit setiap jam.

1. Pergerakan sendi pergelangan kaki
Angkat kaki dari lantai. Buat pusingan selama 15 saat dan tukar arah berlawanan selama 15 saat. Ulangan jika perlu. Ulang pergerakan selepas dua jam perjalanan.

2. Pergerakan kaki
Pergerakan kaki ada tiga peringkat.
  • Mulakan dengan kedua-dua tumit di atas lantai dan hujung kaki dihalakan ke atas setinggi mungkin.
  • Letakkan tapak kaki di atas lantai.
  • Jengkitkan tumit dengan hujung jari kekal di lantai.
Ulang semua peringkat berterusan selama 30 saat.

3. Angkat Lutut
Angkat kaki dengan membengkokkan lutut. Ulang pada kaki yang sebelah lagi. Ulang 20 hingga 30 kali.

4. Lutut Ke Dada
Bongkok sedikit ke hadapan. Paut belakang paha dan bawa ke dada. Tahan selama 15 saat. Kemudian lepaskan perlahan-lahan. Lakukan pada kaki yang sebelah lagi. Ulang gerakan sebanyak 10 kali.

5. Pergerakan Leher
Tanpa menggerakkan bahu, gerakkan kepala dari kanan ke bawah dan ke kiri serta ulang gerakan berlawanan. Lakukan sebanyak 5 kali.

6. Bongkok ke depan
Bongkokkan badan ke depan dengan tangan menyusur tulang kering ke pergelangan kaki. Tahan kedudukan selama 15 saat sebelum tegakkan semula badan perlahan-lahan.

7. Pergerakan bahu
Gerakkan bahu ke hadapan, ke atas dan ke belakang hingga menjadi satu pusingan. Ulangi sebanyak 5 kali dan ulang gerakan pada arah berlawanan.

Tips Kepada Jemaah Haji
  1. Minum cukup air untuk mengelakkan kekurangan air
  2. Lakukan aktiviti memanaskan badan dan senaman regangan sebelum melakukan aktiviti ibadat haji seperti tawaf dan saie.
  3. Amalkan senaman dalam kenderaan (kapal terbang dan bas) jika perjalanan mengambil masa lama.
  4. Dapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera jika mengalami sakit dada, pening, haus dan letih yang melampau.
  5. Elakkan melakukan amalan fizikal yang melampaui kemampuan tubuh badan

Labels:

LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH