SURECO Bersama MuhibahDotNet

SIAPA LAGI YANG NAK TOLONG ORANG KITA JIKA BUKAN KITA SENDIRI

Monday, January 15, 2007

BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI

Ancaman Diabetis

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

LEDAKAN jumlah pesakit kencing manis pasti berlaku sekiranya penduduk dunia (termasuk kita) mengekalkan gaya hidup moden, tidak menjaga pemakanan, kurang memberi perhatian pada kesihatan dan jarang bersenam.

Pada peringkat global dianggarkan 154 juta orang dewasa yang berumur 20 tahun ke atas menghidap kencing manis pada 2000 dan dijangka meningkat kepada 300 juta orang menjelang 2025.

Peningkatan jumlah pesakit di negara sedang membangun sangat membimbangkan iaitu kadar 170 peratus berbanding 42 peratus di negara maju. Jika dari sekarang kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga, kita berisiko untuk masuk ke dalam perangkaan berkenaan.

Di negara kita sendiri pun jumlah pesakit kencing manis sudah semakin ramai dan seolah-olah menjadi satu kebiasaan walaupun ia sebenarnya dikategorikan salah satu penyakit kronik - yang tiada penawarnya.

Pengarah Perubatan Yayasan Jantung Malaysia, Datin Dr Liew Yin Mei, berkata kebanyakan pesakit kencing manis di negara ini juga menghadapi masalah obesiti sehingga ada yang menggelarkan penyakit mereka sebagai ‘diabesiti’. Katanya, obesiti akan meningkatkan kerintangan terhadap insulin (badan tidak dapat menggunakan insulin untuk ‘memproses’ gula dalam makanan) yang akhirnya boleh menyebabkan individu berkenaan mendapat kencing manis.

“Dalam keadaan lain, seseorang itu juga akan mendapat kencing manis jika mengalami masalah kelenjar pankreas yang tidak menghasilkan cukup insulin. Biasanya, sebelum mendapat kencing manis, pesakit akan mengalami fasa pra-diabetik atau kerintangan glukos terlebih dulu iaitu apabila gula dalam darah tidak dapat digunakan walaupun mempunyai cukup insulin.

“Bagi menangani masalah ini, kelenjar pankreas akan bekerja lebih kuat untuk menghasilkan insulin yang sehinggalah ia mengalami kerosakan. Namun dalam kebanyakan kes masalah kencing manis tidak menunjukkan sebarang gejala sehinggalah mencapai tahap serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancakan pil makanan tambahan peria, Diamelon anjuran CCM Duopharma Biotech Bhd. Hadir sama, Pengerusi dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman dan Datuk Mizanur Rahman Ghani.

Diabetes tidak terkawal boleh menyebabkan pelbagai komplikasi yang dibahagikan kepada komplikasi akut dan kronik. Komplikasi akut ialah gejala hipoglisemia (paras gula dalam darah yang terlalu rendah) dan koma.

Manakala komplikasi kronik pula membabitkan kerosakan salur darah (vaskular). Ia boleh merosakkan salur darah yang halus (mikrovaskular) yang menyebabkan pelbagai masalah seperti:
  • Buta atau retinopati (53 peratus)
  • Neuropati atau kerosakan saraf (58 peratus)
  • Mikroalbuminuria (kehadiran protein albumin dalam air kencing, 52 peratus)

Komplikasi makrovaskular pula membabitkan kerosakan salur darah yang besar dan boleh menyebabkan:
  • Penyakit jantung kronik (sembilan peratus)
  • Strok (enam peratus)
  • Penyakit vaskular periferal, gangren iaitu kerosakan atau kematian sebahagian tubuh kerana kekurangan atau tiada bekalan darah (12 peratus).
  • Kaki terpaksa dipotong (dua peratus).

Untuk mengelakkan semua komplikasi yang disenarai di atas, Dr Liew menyarankan semua orang kerap menjalani pemeriksaan paras gula darah. Jika paras gula darah (sama ada ketika berpuasa atau dua jam selepas makan) kurang daripada tujuh milimol/liter, anda masih dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, jika paras ini melebihi 11 milimol/liter seseorang itu dikatakan mula mengalami masalah kencing manis. Namun jika dapat kekalkan paras gula ini kurang daripada 5.6 milimol/liter.

Dr Liew berkata, penurunan paras gula sebanyak satu milimol/liter pun akan memberikan banyak manfaat kepada pesakit terutama untuk mengelakkan komplikasi kesihatan.

Beliau menyarankan empat langkah pengurusan kencing manis iaitu penjagaan pemakanan, pengambilan ubat secara teratur, bersenam dan pendidikan. Amalan pemakanan seimbang ialah cara terbaik untuk mengawal paras gula dalam darah termasuklah melebihkan pengambilan sayur-sayuran termasuklah peria. Secara tradisionalnya peria atau Momordica charantia sudah digunakan sejak turun temurun untuk mengawal paras gula darah.

Dr Abu Bakar Suleiman yang juga Pengerusi Institut Diabetes Negara (Nadi) berkata, bahan aktif dalam peria polipetida-p, carantia dan momordisin dapat membantu kawalan gula darah.

Peria juga dikenali sebagai insulin tumbuh-tumbuhan dan ada kajian menyarankan pesakit kencing manis mengambil antara empat hingga lima biji peria setiap hari untuk mengawal penyakit mereka.

©The New Straits Times Press (M) Berhad

LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH