BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI
Kenapa Skim Pelaburan Internet Tidak Sah
SKIM cepat kaya bukanlah sesuatu yang baru. Beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa telah memberi amaran kepada para pelabur agar tidak melabur wang mereka dalam skim-skim tidak berlesen termasuk Pak Man Telo, Century Diamond, Ganda Wang Anda yang menawarkan pulangan yang kononnya tinggi.
Kemudian pula, janji pulangan jutaan dolar AS yang dikreditkan ke dalam akaun beberapa individu oleh “Kerabat Raja” dan individu berkedudukan tinggi di Nigeria sebagai pulangan bagi akses yang diberikan kepada akaun bank mereka. Kemunculan Internet telah membolehkan skim-skim sedemikian didalangi secara lebih meluas dan mudah.
Sifat tamak menyebabkan sebilangan kehilangan wang mereka dan menjadi mangsa kepada skim penipuan. Ramai individu yang mudah terpengaruh dari segenap lapisan masyarakat telah menjadi mangsa dan kehilangan tabungan seumur hidup mereka.
Ramai para profesional juga kehilangan wang mereka kerana terpedaya dengan janji kosong berupa pulangan lumayan. Akhirnya, janji tinggal janji. Amaran daripada kerajaan dan pihak berkuasa lain tidak diendahkan kerana janji pulangan lumayan telah mengaburi mata.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melabur dengan Swiss Mutual Fund yang mempromosikan program pelaburan Swiss Cash. Swiss Mutual Fund tidak dilesenkan atau dikecualikan daripada pelesenan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menerima deposit dan tidak juga dilesenkan oleh SC untuk menjalankan aktiviti pengurusan dana atau perkhidmatan nasihat pelaburan di Malaysia.
Internet memberikan peluang kepada aktiviti tidak sah sedemikian yang berpangkalan di mana-mana pelusuk dunia. Yang terkini, siasatan SC telah membawa kepada arahan halangan ke atas penanda tangan dua akaun bank warga Malaysia berjumlah RM1.6 bilion. Ia juga telah menutup dua laman web dan menyoal siasat beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam skim penipuan pelaburan Internet global yang dijalankan oleh Cambridge Capital Trading. Skim ini disasarkan kepada pelabur dari Malaysia, Singapura dan Australia.
Pengendali skim penipuan tersebut telah membuat panggilan rambang kepada orang ramai untuk melabur dalam sebilangan produk yang didakwa didagangkan di Dubai Options Exchange yang direka-reka.
Yang menyedihkan, masih ada yang tidak serik dan satu kaedah terbaru skim penipuan Internet telah menarik semakin ramai rakyat Malaysia untuk melabur wang mereka.
Para pelajar, ahli perniagaan dan suri rumah telah terpedaya dengan individu tidak bertanggungjawab yang mengendalikan skim penipuan cepat kaya. Tiada perbezaan dengan skim-skim yang dikendalikan pada tahun 1970-an, kecuali kini dalangnya mencari mangsa melalui Internet.
Trend yang membimbangkan ini telah membawa kepada amaran yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada orang ramai agar tidak ditipu oleh skim penipuan Internet. Najib telah mengingatkan orang ramai bahawa tiada jalan pintas kepada kekayaan, mahupun melalui Internet.
“Seluruh tabungan anda akan lesap dan apabila ini berlaku, anda akan menghadapi kemungkinan hari tua yang gelap”, beliau menambah.
Skim pelaburan Internet dikendalikan oleh entiti tidak berlesen secara jelas melanggar undang-undang. Akta Perindustrian Sekuriti (SIA) 1983 menyatakan bahawa seseorang mesti dilesenkan untuk menjalankan sesuatu perniagaan yang berurusan dengan sekuriti, menyediakan nasihat pelaburan dan/atau perkhidmatan pengurusan dana yang berkaitan dengan sekuriti atau niaga hadapan. Semua individu yang bertindak sebagai wakil kepada entiti yang menjalankan aktiviti tersebut juga mesti dilesenkan di bawah SIA.
SC menyediakan senarai individu dan syarikat yang dilesenkan bagi aktiviti tersebut di laman webnya www.sc.com.my.
Laman web itu juga mempunyai bahagian peringatan pelabur yang memberikan maklumat mengenai isu-isu yang berkaitan, seperti skim penipuan pelaburan Internet. Bahagian ini juga menyenaraikan syarikat dan laman web yang tidak dilesenkan atau diberikan kebenaran oleh SC untuk menawarkan nasihat pelaburan dan/atau khidmat pengurusan atau peluang yang berkaitan dengan sekuriti dan niaga hadapan.
Senarai tersebut, yang sentiasa dikemaskinikan, pada masa ini menyenaraikan 48 syarikat dan laman web. Penyenaraian ini didasarkan pada maklumat yang dikumpulkan daripada pertanyaan dan aduan umum dan tidak terhad.
Sebahagian daripada ciri umum laman web yang menawarkan nasihat dan khidmat pelaburan termasuklah:
Laman web ini mungkin menawarkan skim pelaburan yang menarik (mendakwa akan memberikan pulangan tinggi dengan risiko yang rendah) dan menggunakan alamat pejabat mewah;" Pengusaha skim pelaburan tersebut, yang mendakwa sebagai “pakar pelaburan”, akan menonjolkan “rekod prestasi cemerlang” syarikat dan akan memasukkan testimoni daripada “pelanggan-pelanggan” untuk meyakinkan pelabur. Identiti pelabur biasanya tidak diperoleh untuk disahkan;
Tiada rujukan kepada sebarang lesen bagi aktiviti untuk memberikan khidmat dan produk pelaburan. Sebahagian mereka mendakwa bahawa aktiviti mereka tidak memerlukan lesen;
Cadangan untuk membeli/menjual saham dan “nasihat/panduan” tertentu disalurkan kepada pelanggan melalui e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), akses kepada laman web yang dilindungi oleh kata laluan atau pertemuan secara empat mata atau berkumpulan;
Dalang pelaburan itu juga mungkin mengiklankan simpanan mereka melalui penggunaan mesej e-mel secara rambang dan mesej yang dihantar kepada pelbagai papan buletin dan laman perbincangan di Internet;
Laman web direka bentuk secara profesional untuk menyamai perniagaan yang sah dan mungkin dilengkapkan dengan senarai harga saham semasa, komentari pasaran, berita pasaran dan pautan kepada laman web kewangan yang lain;
Sebahagian daripada laman web ini mungkin menyertakan khidmat percuma seperti tutorial asas mengenai pasaran modal, e-buku dan akses kepada bilik sembang/papan buletin; dan
Kebanyakan transaksi pembayaran dilakukan melalui Internet atau kepada sesuatu akaun luar pesisir. Sebahagian pelabur hanya dapat melihat paparan keuntungan tetapi terpaksa melalui proses yang berbelit-belit untuk mengeluarkannya.
SC sentiasa mengingatkan orang awam supaya melabur hanya dengan individu atau pengantara yang berlesen sahaja.
Suruhanjaya itu memberi amaran bahawa pengusaha yang tidak berlesen mungkin akan, dan banyak yang telah pun, menghilangkan diri begitu sahaja, meninggalkan pelabur tanpa mendapat semula wang yang telah dilaburkan atau berpeluang mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang terbabit dengan skim tersebut.
Apabila tidak pasti, orang ramai harus menyemak dengan BNM, SC atau mana-mana pihak berkuasa yang relevan mengenai status lesen syarikat tempatan atau asing sebelum mendepositkan wang mereka atau membuat sebarang keputusan pelaburan.
Sekiranya pulangan yang ditawarkan oleh sesuatu skim pelaburan agak sukar untuk dipercayai - ini sepatutnya menjadi amaran kepada pelabur.
Pelabur tidak seharusnya membuat keputusan pelaburan semata-mata berdasarkan nasihat pelaburan yang tidak diminta yang terdapat di Internet.
Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan pengesahan mengenai sebarang maklumat yang terdapat dalam mana-mana skim pelaburan daripada pihak berkuasa berkaitan atau penyedia maklumat yang boleh dipercayai seperti laman web Bursa Malaysia atau laporan tahunan, prospektus dan surat khabar.
Sebarang nasihat atau tip pelaburan yang tidak diundang daripada Internet yang tidak boleh disahkan hendaklah diabaikan.
Orang ramai juga dinasihat agar memaklumkan kepada SC secepat mungkin sekiranya mereka menemui laman web, e-mel atau sebarang maklumat yang mencurigakan di Internet yang berkaitan dengan nasihat dan khidmat pelaburan.
– Artikel ini disediakan dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti.
Labels: Pengetahuan Am
LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH
<< Home