SURECO Bersama MuhibahDotNet

SIAPA LAGI YANG NAK TOLONG ORANG KITA JIKA BUKAN KITA SENDIRI

Monday, September 18, 2006

BERMINAT UNTUK MENJADI AHLI SURECO? - KLIK DISINI

Madu asli rawat luka dua minggu

Oleh Mona Ahmad

Rawatan terhadap 102 pesakit sebagai sampel kajian penyelidik Pusat Perubatan Universiti Malaya capai kejayaan 100 peratus

MADU adalah rawatan perubatan kuno yang sudah digunakan sejak beberapa abad lalu untuk merawat ulser, penglupasan, jangkitan mata, tekak dan menyembuhkan luka akibat terkena peluru.

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah buatlah sarang di gunung, di pohon dan dari apa yang didirikan. Kemudian makanlah daripada tiap buah-buahan, lalu tempuhlah jalan Tuhanmu dengan merendahkan diri.

“Dari perutnya (lebah) keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, didalamnya (terdapat) ubat bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu (terdapat) tanda-tanda kekuasaan Allah (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkannya.” (Surah Nahl: Ayat 68-69)

Berdasarkan ayat al-Quran itu, sekumpulan penyelidik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) merawat pesakit yang mengalami masalah luka kemalangan, kecederaan akibat tetakan, kebakaran dan luka kerana kencing manis.

Menerusi kajian yang dikenali sebagai Penggunaan Madu Dalam Pengurusan Luka: Pemerhatian Klinikal, sekumpulan penyelidik terdiri daripada Dr Anwar Suhaimi, Prof Kamaruddin M Yusoff, Zainabe Syed Akka dan Dr Farizah Hairi berjaya merawat 102 pesakit sejak Julai 1998 hingga 2003.

Menarik mengenai kajian yang membabitkan sampel yang dikatakan paling besar di Malaysia dengan kadar kejayaan 100 peratus itu, turut berjaya merawat luka itu dalam tempoh paling singkat iaitu dua minggu.

Dr Anwar berkata, kebanyakan pesakit yang bersetuju menggunakan kaedah rawatan itu ialah mereka yang pernah dirawat secara moden menggunakan dressing dengan ubat moden, tetapi luka yang dialami masih tidak sembuh.

Katanya, PPUM memperoleh madu lebah asli daripada Jabatan Pertanian dan dihantar ke Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear (Mint) untuk rawatan gamma radiasi bagi memastikan bakteria dalam spora musnah.

"Kita hanya tuang madu itu di kawasan luka dan ia akan memenuhi bahagian yang lazimnya tidak boleh memasuki ubat luka kerana ruang dan saluran yang terlalu sempit.

"Kadangkala, kami meneruskan kepada proses kedua pula iaitu merendamkan gauze dalam madu lebah kemudian melekatkannya pada luka itu dan sebelum menampal kapas dan membalut luka itu. Apa yang paling menarik ialah pesakit tidak langsung berasa sakit ketika proses dressing menggunakan madu, berbanding menggunakan kaedah biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Penggunaan Madu dalam Bidang Perubatan: Daripada Sarang ke Terapi, anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung selama tiga hari di Kota Bharu, baru-baru ini.

Sementara itu, Dr Kamaruddin yang sudah menjalankan penyelidikan mengenai madu lebah sejak 20 tahun lalu berkata, manisan itu mempunyai ejen yang boleh membunuh bakteria dikenali sebagai hidrogen peroksida dan organik antibakteria.

Selain itu, katanya, madu lebah turut mempunyai mikro nutrien seperti garam galian, vitamin dan asid amino yang mampu membina semula tisu yang rosak akibat luka itu. Kaedah ini lebih murah daripada dressing secara konvensional.

"Saya berikan tiga jenis madu iaitu yang diimport dari Barat, Timur Jauh dan tempatan kepada jururawat untuk digunakan dalam rawatan luka pesakit. Jururawat dan pesakit itu tidak tahu madu itu berasal dari mana.

"Apa yang mengejutkan, kami mendapati luka pesakit lebih cepat sembuh menggunakan madu asli tempatan," katanya yang kini berkhidmat di Jabatan Perubatan Molekular, Universiti Malaya (UM).

Katanya, penggunaan madu dalam rawatan kecederaan bergantung kepada tahap luka itu. Rawatan dilakukan setiap hari jika luka besar dan dalam, dan selang sehari atau seminggu sekali bergantung pada luka.

Bagi pesakit kencing manis pula, rawatan menggunakan madu bagi memulihkan luka tidak menjejaskan tahap gula dalam badan pesakit.

Bagaimanapun, katanya, pesakit perlu berhati-hati dengan tidak mencuba rawatan itu menggunakan madu campuran atau sintetik yang boleh memudaratkan pesakit, termasuk meningkatkan kadar sukrosa dan merosakkan sel herpa (hati).

Katanya, mengikut kajian sejak lapan tahun lalu, kebanyakan madu tempatan yang didakwa tulen di pasaran sebenarnya dicampur dengan gula pasir atau dihasilkan di kilang menerusi tindak balas kimia.

"Kami dapati kebanyakan madu yang didakwa asli ini menggunakan campuran gula pasir dan kandungannya ada yang mencecah 50 peratus, sekali gus menyebabkan penyakit kencing manis jika diambil secara berterusan.

"Madu sintetik pula dihasilkan di kilang menggunakan sirap jagung berfruktosa tinggi yang dicampur dengan asid pekat yang menghasilkan sejenis bahan yang dikenali sebagai hydroxymethylfurfuraldehyde (HMF).

"HFM menghasilkan sejenis toksik yang boleh menjejaskan sel herpa (hati) pengguna dan boleh menyebabkan kanser usus besar," katanya.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika membeli madu yang dijual di pasaran, bagi mengelakkan ditipu seterusnya menjejaskan kesihatan.

"Memang madu banyak khasiat terutama dari segi perubatan, tetapi jika kita tersalah pilih dengan makan madu bukan asli, banyak keburukan bakal menanti. Belilah madu terus dari penternak atau sumber yang diyakini," katanya.

FAKTA
Madu lebah asli:

Kandungan:
  • Ejen membunuh bakteria, hidrogen peroksida.
  • Bahan organik antibakteria.
  • Mikro nutrien (garam galian, vitamin dan asid amino).
Cara rawatan:
  • Tuang madu lebah di bahagian luka dan masukkan gauze yang direndam dengan madu di bahagian luka. Lekapkan kapas bagi menyerap cecair yang keluar dan balut.
Tempoh rawatan:
  • Dua hingga empat minggu
Perbezaan madu asli dan tiruan
  • Madu campuran mengandungi kandungan gula sukrosa melebihi lima peratus
  • Madu sintetik mengandungi kandungan HMF melebihi 80 miligram perkilogram madu
  • Sukar untuk membezakan antara madu asli dan tiruan melainkan menerusi ujian makmal
  • Bagi mereka yang biasa makan madu tulin, dengan sendirinya dapat membezakan rasa madu tiruan.

Labels:

LANGKAH PERMULAAN YANG BIJAK KEARAH PEMELIHARAAN KESIHATAN SECARA MENYELURUH